Saturday 20 July 2019

Catatan untuk cucu









Lebih kurang 2 tahun kelas 3M di Pos Yum (KOA Kotai) ini ditubuhkan oleh Hjh. Khatijah. Beberapa bulan selepas tu, aku dan Qistina Hani yang sambung tugas sebagai sukarelawan untuk mengajar pembelajaran tambahan untuk diorang.

Dalam setahun lebih tempoh kami mengajar, Alhamdulillah anak-anak belantara makin ramai yang sertai kelas kami. Asalnya hanya 16 orang dari Koa Kotai, kini bertambah mencecah 30 orang dengan kehadiran anak-anak dari Koa Beswok.

Anak-anak dah bertambah, tanggungjawab kami juga makin berat. Dengan tak ada latar belakang pendidikan, keterbatasan dalam penggunaan bahasa, masa yang terbatas, kurang tenaga pengajar dan macam-macam cabaran lain yang dihadapi.

Kami berdua selalu duduk berbincang permasalahan, teknik dan alternatif terbaik yang boleh kami gunakan supaya mereka mudah faham belajar. Jumpa dan berbincang dengan orang yang lebih berpengalaman untuk minta tunjuk ajar serta nasihat. Belum kira kami sendiri yang ambil inisiatif menjadi pelajar untuk belajar bahasa Temiar dengan anak-anak. Pendek kata dalam tempoh setahun lebih ini adalah tempoh eksperimen.
(sampai sekarang..)

Benda yang paling menduga iman ialah perangai anak-anak. Interseksi, faktor jauh ke tengah belantara dan kurang akses keluar, jadi anak-anak kurang mahir cara bersosial dengan orang luar.

Awal-awal dulu aku malu juga kalau mengajar anak-anak tak bagi respon. Sekarang dah jadi benda biasa mengajar 'syok sendiri' kecuali kalau ajak mainπŸ˜‘. Malu tak bertempat. Kalau dulu kerap juga rasa nak marah, selalunya bila aku diam Hani akan tepuk bahu ingatkan untuk bersabar. Sepanjang tempoh ini juga kami 'try hard gila' nak curi perhatian anak-anak.

Sering kali ingatkan diri, bukan kami sukarelawan yang memberi tapi mereka yang memberi. Memberi dan mengajarkan tentang banyak perkara dalam hidup ini. Belajar menjadi manusia yang punyai sifat manusiawi.

Aku tulis panjang-panjang ni bukan apa, bila 10 tahun akan datang entah mungkin aku jatuh dan dilanda kemurungan atau apa sahaja. Sekurangnya ada Facebook yang akan ingatkan kembali sesuatu kenangan yang aku kira pencapaian peribadi untuk menggembirakan diri.

Untuk kelas 3M minggu lepas, anak-anak belantara dah mula tunjukkan perubahan. Zaki dan Saiful dah mula buka mulut bertanyakan soalan yang tak difahami walaupun dalam bahasa Temiar. Tasha, Daruna dan Faridah dah pandai berbasi bahasa tegur masa tengah kemas kereta πŸ˜­πŸ˜­πŸ˜­..

Setahun lebih mengadap anak-anak yang malu-malu dan pasif ini, bila sekecil perubahan ni pun boleh buat rasa sebak dan terharu.

Terima kasih untuk anak-anak belantara yang banyak mengajarkan aku tentang banyak hal. Terima kasih Hani & Kak Husni yang banyak berkongsi rasa.

Terima kasih juga kepada rakan-rakan seperjalanan Pak Teh, Abah Dahalal, Pakmat, Pak Dogan yang korban tenaga emas dan kongsikan pengalaman lama. Terima kasih kak Ida kerana menjaga perut kami. Terima kasih En. Das, ustazah Suha yang sentiasa ada melancarkan pergerakan. πŸŒΈ


No comments: