Thursday 13 June 2019

Renjuna




Teluk Renjuna antara pulau kecil yang terbentuk di delta sungai Kelantan. Beberapa kali disebut Ezzmer dalam perbualan kami di toko Kitartb beberapa tahun lepas.
Dah teringin sangat nak pergi, raya ni baru sempat ke sana. Lepas buat beberapa perbandingan, kami buat keputusan untuk naik bot penambang dari Kuala Besar. Tambang sehala ke mana-mana pulau lebih kurang Rm 1 atau Rm 2 sahaja.



Berjaya nego dengan Abe Nuar salah seorang pengemudi bot penambang untuk bawa kami mengelilingi kesemua pulau melalui jalan air. Habis mengelilingi ke semua pulau melalui jalan air, Abe Nuar tinggalkan kami di Teluk Renjuna dan carikan basikal untuk mengelilingi pulau melalui jalan darat pula. Abe Nuar perlu pulang ke Kuala Besar, menunggu anak-anak pulau yang bersekolah di tanah besar untuk pulang.

Mula berkayuh dari Teluk Renjuna melepasi jambatan ke beberapa pulau lain hinggalah ke Pulau Suri mengambil masa lebih kurang 2 jam setengah. Sesekali kami berhenti bersembang dengan penduduk dan mengeteh di kedai kopi.
Pulau Teluk Renjuna
Pulau Suri
Pulau Gorek
Pulau Beluru
Pulau Besar
Pulau Seratus
Pulau Gagak
Pulau Tongkang
Pulau Haji Nik Mat
Pulau Ali
Pulau Cendur
Pantai Kuda

26 buah pulau yang terbentuk di delta sungai Kelantan, hanya 13 pulau yang berpenghuni.


Pulau ini bukan tempat pelancongan, istimewanya bila kami rasa seperti pulang ke kampung sendiri. Rumah rapat ke tebing sungai, jalan kecil di kiri kanan hutan, angin dingin dan kupu-kupu yang menemani kami sepanjang kayuhan. Beberapa kali Atikah suarakan untuk tinggal terus di sini.

Rata-rata penduduk menjana ekonomi dengan menjadi nelayan, sebahagian kecil mengusahakan perniagaan berasaskan kelapa yang akan dihantar ke tanah besar. Golongan veteran lebih selesa dengan mengembala kambing dan lembu.

Kata Afnan pemuda yang kami temui di pulau sementara menunggu Abe Nuar datang kembali,

' anok mudo ghama hok tubek gi luar kijo buruh, ado hok gi kijo pulau lain tempat pelanconge'.
Afnan antara pemuda yang memilih untuk kekal di pulau. Memanfaatkan tanah dan kelebihannya sebagai anak pulau. Sebati dengan gaya tradisional, kekal tenang dari pembangunan.

Oh ya, Afnan ada sediakan kemudahan tapak perkhemahan dan penempatan sementara kepada yang teringin menginap di pulau.